Cella

Dalam seni bina klasik, cella (Latin untuk "kebuk kecil") atau naos (daripada Yunani Kuno ναός (naós) 'kuil') ialah ruang dalaman di kuil Yunani atau Rom purba. Kerana ditutupi dengan dinding, maknanya juga telah diperluaskan untuk bermaksud tempat pertapa atau rahib, dan (sejak abad ke-17) sel tumbuhan atau haiwan dalam biologi.
Kuil Yunani dan Rom

Dalam kuil Yunani dan Rom purba, cella ialah sebuah bilik di tengah-tengah bangunan, biasanya menempatkan imej pemujaan atau patung yang mewakili dewa tertentu yang dipuja di kuil tersebut. Selain itu, cella boleh mempunyai meja untuk menerima persembahan nazar tambahan, seperti patung nazar dewa-dewa yang berkaitan, batu permata, topi keledar, mata lembing dan panah, pedang, dan trofi perang. Tiada perhimpunan atau korban dibuat di dalam cella kerana mazbah korban sentiasa terletak di luar bangunan manakala mazbah sementara untuk dewa-dewa lain dibina di sebelahnya.[1][2] Persembahan yang terkumpul lama-lama menjadikan kuil Yunani dan Rom seolah-olah satu perbendaharaan, dan kebanyakannya memang digunakan begitu semasa zaman purba klasik.
Cella biasanya bilik segi empat tepat yang ringkas tanpa tingkap, dengan pintu atau laluan masuk yang terbuka di bahagian depan di sebalik serambi anjung bertiang. Di kuil-kuil besar, cella biasanya dibahagikan oleh dua deretan tiang (kolonad) kepada ruang tengah dan dua lorong sis. Sesebuah cella juga mungkin mengandungi adyton, kawasan dalaman yang hanya untuk golongan kahin—dalam agama-agama dengan golongan pendeta yang ditahbiskan—atau oleh pengawal kuil.
Kecuali beberapa seni bina, bangunan Yunani biasanya bertiang semata-mata (peripteral) dengan cella di tengah-tengah pelan, seperti Parthenon dan Kuil Apollo di Paestum. Orang Rom lebih menyukai bangunan yang bertiang di depan dan belakang tetapi berdinding di tepi (pseudoperipteral) dengan serambi anjung yang mengimbangi cella di belakang. Pelan pseudoperipteral ini menggunakan tiang terhubung di sepanjang dinding sisi dan belakang cella.[perlu rujukan] Kuil Venus dan Roma yang dibina oleh Hadrian di Rom mempunyai dua cellae yang disusun membelakangi satu sama lain dan dikelilingi oleh satu taman tiang (peristil) luar.[3]
Kuil Etruria
Menurut Vitruvius,[4] kuil-kuil jenis Etruria (contohnya seperti di Portonaccio, berhampiran Veio) mempunyai tiga cellae yang sebelah-menyebelah,[3] dihubungkan deretan tiang berkembar pada bahagian muka bangunan. Ini susun atur yang baru berbanding struktur lain yang ditemui di Etruria dan pesisir Tyrrhenian Itali, yang hanya ada satu cella dengan atau tanpa tiang, seperti yang dilihat di Yunani dan Timur.
Kuil Mesir
Dalam budaya Helenistik Kerajaan Ptolemaik di Mesir purba, cella merujuk kepada sesuatu yang tersembunyi dan tidak diketahui di dalam tempat suci dalaman sesebuah Kuil Mesir. Ia berada dalam kegelapan penuh, bertujuan untuk melambangkan keadaan alam semesta sebelum penciptaan. Cella tersebut, yang juga dipanggil naos, menempatkan banyak keramat berbentuk kotak. Perkataan Yunani "naos" telah diperluaskan oleh ahli arkeologi untuk memaksudkan bilik tengah sesebuah piramid. Menjelang akhir Kerajaan Lama Mesir, pembinaan naos beralih dari bawah tanah kepada dibina terus di dalam piramid, di atas tanah. Naos tersebut dikelilingi banyak laluan dan bilik berlainan, kebanyakannya digunakan untuk mengelirukan dan memesongkan pencuri serta perompak kubur.
Gereja Kristian
Dalam seni bina Kristian awal dan Byzantine, cella atau naos ialah kawasan di tengah-tengah gereja yang dikhaskan untuk melaksanakan liturgi.
Pada zaman-zaman terkemudian, sebuah gereja kecil atau bilik rahib juga dipanggil cella. Ini asal-usul perkataan cill atau cell dalam Bahasa Ireland (diinggeriskan sebagai Kil(l)-) dalam banyak nama tempat di Ireland.
Rujukan
- ^ Sarah Iles Johnston (2004). Religions of the Ancient World: A Guide. Harvard University Press. m/s. 278. ISBN 0674015177.
- ^ Klauck, Hans-Josef (2003). Religious Context of Early Christianity: A Guide To Graeco-Roman Religions (ed. reprint). A&C Black. m/s. 23. ISBN 0567089436.
- ^ a b Chisholm 1911.
- ^ "Vitruvius, De architectura, Buku IV, Bab 7". Diarkibkan daripada yang asal pada 2006-01-13. Dicapai pada 2005-12-18.
Bibliografi
- Rencana ini menggabungkan dan menterjemah teks dari penerbitan sekarang di domain awam: Chisholm, Hugh, penyunting (1911). "Cella". Encyclopædia Britannica (dalam bahasa Inggeris). 5 (ed. ke-11). Cambridge University Press. m/s. 604.
- Trachtenberg dan Hyman, Architecture: From Prehistory to Post Modernity (edisi kedua).
Pautan luar
Content Disclaimer
Informasi ini disarikan dari Wikipedia dan disajikan kembali untuk tujuan edukasi. Konten tersedia di bawah lisensi CC BY-SA 3.0. Kami tidak bertanggung jawab atas ketidakakuratan data yang bersumber dari kontribusi publik tersebut.
- The information displayed on this website is sourced in part or in whole from Wikipedia and has been adapted for the purpose of restating it. We strive to provide accurate and relevant information, however:
- There is no guarantee of absolute accuracy. Wikipedia is an open, collaborative project that can be edited by anyone, so information is subject to change.
- It is not intended to constitute professional advice. The content displayed is for informational and educational purposes only. For important decisions (e.g., medical, legal, or financial), please consult a professional.
- Content copyright. Wikipedia is licensed under the Creative Commons Attribution-ShareAlike License (CC BY-SA). This means that content may be reused with appropriate attribution and shared under a similar license.
- Responsible use. Any risk arising from the use of information from this website is entirely the responsibility of the user.