Ratri

Dewi Ratri, jelmaan malam.

Ratri (Sanskrit: रात्रि, bermaksud "malam", IAST: Rātri; juga dikenali sebagai Nisha) ialah seorang dewi Veda dalam agama Hindu.[1] Dewi ini merupakan personifikasi malam, iaitu perwujudan malam sebagai entiti suci dan berkuasa.[2]

Sebahagian besar rujukan tentang Dewi Ratri terdapat dalam kitab suci Rigveda, di mana dewi ini digambarkan sebagai adik kepada Ushas, dewi fajar. Bersama Ushas, Ratri dipandang sebagai seorang ibu yang berkuasa serta pemberi kekuatan dan tenaga hidup. Dewi Ratri melambangkan pola berirama yang berulang dalam alam semesta, mencerminkan konsep kitaran kosmos.

Walaupun rupa fizikal-Nya tidak digambarkan secara terperinci dalam teks, Ratri sering dirujuk sebagai seorang gadis yang cantik.[3]

Etimologi

Perkataan Ratri berasal daripada bahasa Sanskrit yang secara harfiah bermaksud "yang memberikan ketenangan atau kebahagiaan",[4] merujuk kepada malam sebagai masa untuk beristirahat dan mendapat kedamaian.

Rātri secara simbolik berasal daripada akar kata rā yang bermaksud "memberi", dan ditafsirkan sebagai “pemberi” kebahagiaan, ketenangan, dan kedamaian.

Sumber

Satu himpunan mantra (sukta) dalam Rigveda dan lima lagi dalam Atharvaveda dikhususkan untuknya. Dalam teks-teks Tantra yang muncul kemudian, dewi memainkan peranan penting. Dalam Rigveda, Ratri dikaitkan dengan dewa-dewa seperti Ushas, Indra, serta konsep kosmik seperti Ṛta (kebenaran kosmik) dan Satya (kebenaran). Dalam Atharvaveda, Ratri juga dikaitkan dengan Surya (dewa matahari).[5]

Teks-teks Veda yang lain seperti Brahmana dan Sutra turut menyebut tentang Dewi Ratri, menunjukkan peranan pentingnya dalam falsafah dan ritual Veda.

Ratri Sukta

Rātrisūkta merupakan sejenis Sukta (himpunan mantra Veda) yang ditujukan kepada Dewi Rātrī, dewi malam yang bersifat penuh kasih dan pelindung. Ratri merupakan adik kepada Dewi Ushas, dewi fajar, dan telah disebut sejak zaman purba dalam Rigveda. Rātrī digambarkan mengenakan jubah hitam bertatahkan bintang-bintang yang berkilauan, mencerminkan kehadirannya yang anggun dan penuh rahmat di langit malam.[6]

Dalam Rigveda (10.127.1–8), terdapat lapan mantra utama yang membentuk Ratrisukta. Namun dalam amalan ritual, 13 mantra tambahan yang dikenali sebagai khila atau parisiṣṭa sering disertakan bersama. Selain itu, terdapat juga 12 lagi mantra yang dikenali sebagai phalasruti, iaitu puji-pujian terhadap sūkta ini yang memperincikan pelbagai manfaat sekiranya ia dibaca atau diamalkan.

Kandungan Rātrisūkta

Dewi Ratri, dalam kedatangannya, diperihalkan sebagai memerhati seluruh alam melalui "mata-matanya" yang bersinar indah — iaitu bintang-bintang. Dewi memenuhi langit dan bumi dengan kegelapan, namun tetap memberikan kehidupan dengan sinaran bintangnya. Apabila malam berakhir, dewi beredar dan memberi laluan kepada kakaknya, Uṣas, untuk menyinari dunia dengan cahaya fajar.

Sūkta ini menyatakan bahawa sebagaimana burung kembali ke sarang pada waktu malam, manusia juga kembali ke rumah mereka — mencari perlindungan dan keamanan. Oleh itu, pujian ditujukan kepada Dewi Malam agar Ia berkenan melindungi mereka daripada ancaman seperti pencuri, binatang buas, roh jahat dan kegelapan yang berbahaya.

Mantra Tambahan

Mantra khila (13 ayat tambahan) memberi tumpuan kepada keindahan rupa dan sifat dewi, sambil memohon perlindungan daripada pelbagai bahaya seperti peperangan, musuh, kebakaran, penyamun, dan pengaruh planet malang.

Manakala 12 ayat phalaśruti berikutnya menerangkan cara-cara pemujaan kepada Dewi Rātrī — termasuk pembacaan mantra ini serta persembahan susu dan pes cendana. Kebaikan yang dijanjikan melalui amalan ini termasuk kemasyhuran di tiga dunia, kelahiran anak yang soleh, kekayaan, pemulihan penglihatan kepada orang buta, penyembuhan penyakit, dan pengabulan hajat.

Rātrisūkta juga merupakan sebahagian daripada pembacaan ritual dalam Candi Paṭha atau Durga Saptasati, teks penting dalam tradisi pemujaan Dewi Durga.

Lihat Juga

Pautan Luar

Rujukan

  1. ^ www.wisdomlib.org (12 April 2016). "Ratri, Rātrī, Rātri: 19 definitions". www.wisdomlib.org. Retrieved 13 November 2022.
  2. ^ Jordan, Michael (14 May 2014). Dictionary of Gods and Goddesses. Infobase Publishing. p. 264. ISBN 978-1-4381-0985-5.
  3. ^ Kinsley, David (2005). Hindu Goddesses: Visions of the Divine Feminine in the Hindu Religious Tradition. Motilal Banarsidass. p. 14. ISBN 81-208-0394-9.
  4. ^ Swami Harshananda, A Concise Encyclopaedia of Hinduism
  5. ^ Mishra (1994). Pandit N.R. Bhatt, Felicitation Volume Iib: Philosophy Series. Motilal Banarsidass Publishers. pp. 39–49. ISBN 9788120811836.
  6. ^ Swami Harshananda, A Concise Encyclopaedia of Hinduism

Content Disclaimer

Informasi ini disarikan dari Wikipedia dan disajikan kembali untuk tujuan edukasi. Konten tersedia di bawah lisensi CC BY-SA 3.0. Kami tidak bertanggung jawab atas ketidakakuratan data yang bersumber dari kontribusi publik tersebut.

  1. The information displayed on this website is sourced in part or in whole from Wikipedia and has been adapted for the purpose of restating it. We strive to provide accurate and relevant information, however:
  2. There is no guarantee of absolute accuracy. Wikipedia is an open, collaborative project that can be edited by anyone, so information is subject to change.
  3. It is not intended to constitute professional advice. The content displayed is for informational and educational purposes only. For important decisions (e.g., medical, legal, or financial), please consult a professional.
  4. Content copyright. Wikipedia is licensed under the Creative Commons Attribution-ShareAlike License (CC BY-SA). This means that content may be reused with appropriate attribution and shared under a similar license.
  5. Responsible use. Any risk arising from the use of information from this website is entirely the responsibility of the user.