Force 136
| Force 136 | |
|---|---|
| Ditubuhkan pada | 1941 (sebagai India Mission) 1942 (sebagai GSI(k)) 1944 (sebagai Force 136) |
| Dibubarkan | 1946 |
| Negara | |
| Kesetiaan | Markas Asia Tenggara |
| Jenis | Agensi perisikan masa perang untuk Timur Jauh Pasukan khas[3] |
| Peranan | |
| Sebahagian daripada | Special Operations Executive |
| Ibu pejabat | Kandy, Ceylon (kini dikenali sebagai Sri Lanka) |
| Maskot | Phoenix |
| Pertempuran | Perang Dunia Kedua
|
| Komander | |
| Komander terkenal | |
Force 136 ialah cabang Timur Jauh bagi organisasi perisikan British semasa Perang Dunia Kedua, iaitu Special Operations Executive (SOE). Ia pada asalnya ditubuhkan pada tahun 1941 sebagai India Mission dengan nama samaran GSI(k), dan kemudiannya menyerap saki-baki Oriental Mission SOE pada April 1942. Orang yang bertanggungjawab sepenuhnya sepanjang kewujudannya ialah Colin Mackenzie.
Organisasi ini ditubuhkan untuk menggalakkan serta membekalkan gerakan-gerakan penentangan tempatan di Raj Britsh. Force 136 beroperasi di Kancah Asia Tenggara dalam Perang Dunia Kedua yang diduduki Jepun dari 1941 hingga 1945: Burma, Tanah Melayu, Sumatera, Siam, dan Indochina Perancis.[4]
Walaupun barisan atasan Force 136 terdiri daripada pegawai dan orang awam British, sebahagian besar individu yang mereka latih dan gunakan sebagai ejen adalah penduduk asal rantau operasi tersebut. Sebagai contoh, orang Burma, India dan Cina telah dilatih sebagai ejen untuk misi di Burma. Pegawai dan pegawai tidak bertauliah (NCO) British serta Eropah lain dihantar ke belakang garisan musuh untuk melatih gerakan penentangan. Bekas pegawai kolonial dan individu yang pernah bekerja di negara-negara tersebut untuk pelbagai syarikat mengetahui bahasa tempatan, masyarakat serta keadaan tanah, lalu menjadi amat berharga kepada SOE. Antara pegawai yang paling terkenal ialah Freddie Spencer Chapman di Tanah Melayu dan Hugh Seagrim di Burma.
Sejarah
SOE ditubuhkan pada tahun 1940, dengan penyatuan pejabat-pejabat British iaitu War Office dan Ministry of Economic Warfare. Tujuannya adalah bagi mencetus, mengatur dan membekal pasukan penentang tempatan di wilayah diduduki musuh. Pada awalnya, musuh adalah Jerman Nazi dan Itali, tetapi menjelang akhir tahun 1940, ia menjadi jelas bahawa konflik dengan Jepun juga tidak dapat dielak.
Dua misi dihantar bagi menubuhkan (dan mengambil alih kawalan politik) bagi SOE di Timur Jauh. Yang pertama dipimpin oleh bekas ahli perniagaan, Valentine Killery dari Imperial Chemical Industries (ICI), yang menubuhkan ibu pejabatnya di Singapura. Organisasi penentang awal ditubuhkan di Malaya, tetapi Sngapura ditawan pada 15 Februari 1942, tidak lama selepas Jepun memasuki perang.
Misi kedua ditubuhkan di India oleh seorang lagi bekas ahli perniagaan, Colin Hercules Mackenzie. India Mission pada asalnya beroperasi dari bandar Meerut. Lokasinya ditentukan oleh kebimbangan bahawa Jerman mungkin menakluki Timur Tengah dan Caucasus, dalam hal sedemikian gerakan penentangan akan ditubuhkan di Afghanistan, Parsi dan Iraq. Apabila ancaman ini berakhir lewat tahun 1942 selepas Pertempuran Stalingrad dan El Alamein, tumpuan beralih ke Asia Tenggara.
Nama samaran pertama India Mission ialah GSI (k), yang menjadikannya kelihatan seperti cabang penyimpanan rekod di General Headquarters India (GHQ). Nama Force 136 telah digunakan pada Mac 1944. Bermula Disember 1944, ibu pejabat organisasi ini berpindah ke Kandy di Ceylon dan bekerjasama rapat dengan South East Asia Command (SEAC) yang turut berpusat di sana. Pada tahun 1946, Force 136 dibubarkan, bersama-sama dengan keseluruhan SOE.
Organisasi
Peringkat Perintah
Force 136 telah diatur kepada tiga Kumpulan untuk menjalankan operasi sulit di pelbagai bahagian Asia.[4]
| Kumpulan | Kawasan tanggungjawab | Lokasi Ibu Pejabat |
|---|---|---|
| Force 136 HQ | Timur Jauh | Raj British, dan kemudian berpindah ke Kandy, Ceylon |
| A | Burma dan Indochina Perancis | Rangoon, Burma[5] |
| B | Malaya dan Hindia Timur | Kuala Kangsar, Perak |
| C | China | Hong Kong |
Peringkat Asas
Satu pasukan Force 136 yang tipikal terdiri daripada 8 ejen, termasuk dua orang komander, dua ejen yang bertanggungjawab ke atas pemusnahan, seorang pengendali telekomunikasi tanpa wayar (W/T), seorang ejen untuk menyulitkan dan menyahsulit mesej, serta dua orang peninjau.[6]
Operasi-Operasi
China
Sejak tahun 1938, Britain telah menyokong Republik China menentang Jepun dengan membenarkan bekalan dihantar kepada pihak China melalui Jalan Burma yang melalui Burma. SOE mempunyai pelbagai rancangan berkaitan China pada awal perang. Pasukan sepatutnya dihantar ke China melalui Burma, dan sebuah Sekolah Perang Rimba (Bush Warfare School) di bawah pimpinan Michael Calvert telah ditubuhkan di Burma untuk melatih anggota China dan Sekutu dalam peperangan tidak konvensional. Rancangan ini berakhir apabila Jepun menakluki Burma pada tahun 1942.
Secara teknikal, SOE tidak lagi ditugaskan untuk beroperasi di dalam China selepas tahun 1943, apabila tanggungjawab itu diserahkan kepada pihak Amerika. Namun, satu kumpulan yang dikenali sebagai Misi 204, atau secara rasminya dikenali sebagai 204 British Military Mission to China dan juga dikenali sebagai Tulip Force, telah cuba memberikan bantuan kepada Tentera Nasionalis China. Fasa pertama misi ini mencapai hasil yang sangat sedikit, tetapi fasa kedua yang lebih berjaya telah dijalankan sebelum Operasi Ichi-Go memaksa pengunduran mereka pada tahun 1944.
British Army Aid Group di bawah seorang pegawai bernama Lindsay "Blue" Ride telah beroperasi berhampiran Hong Kong, di kawasan yang dikuasai oleh Parti Komunis China.
Dalam Operasi Remorse, seorang ahli perniagaan bernama Walter Fletcher telah menjalankan operasi ekonomi sulit seperti mendapatkan getah seludup, spekulasi mata wang, dan sebagainya, di China yang diduduki Jepun. Hasil daripada aktiviti ini, SOE sebenarnya memperoleh keuntungan kewangan sebanyak GBP 77 juta di Asia Timur (dibantu oleh seorang akauntan di Ibu Pejabat SOE di London, John Venner).[7] Sebahagian besar dana dan rangkaian yang digunakan untuk mendapatkannya kemudian digunakan dalam pelbagai operasi bantuan dan pemulangan tahanan, tetapi pengkritik menegaskan bahawa ia telah mewujudkan satu dana yang boleh digunakan oleh SOE tanpa pengawasan atau akauntabiliti daripada mana-mana pihak berkuasa biasa.
Thailand
Pada 21 Disember 1941, satu pakatan ketenteraan rasmi antara Thailand di bawah Field Marshal Plaek Phibunsongkram dan Jepun telah dimeterai. Pada tengah hari, 25 Januari 1942, Thailand mengisytiharkan perang terhadap Amerika Syarikat dan Britain. Sebahagian rakyat Thai menyokong pakatan ini, dengan alasan bahawa ia adalah demi kepentingan negara, atau bahawa adalah lebih bijak untuk berpihak kepada kuasa yang sedang menang. Namun, ada juga yang menubuhkan Free Thai Movement untuk menentang. Pergerakan Thai Merdeka ini disokong oleh Force 136 dan OSS, serta memberikan maklumat risikan yang penting dari dalam Thailand. Akhirnya, apabila perang berpaling tadah terhadap Jepun, Phibun terpaksa meletakkan jawatan, dan sebuah kerajaan dikawal oleh Free Thai dibentuk. Satu rampasan kuasa dirancang untuk mengganggu pasukan pendudukan Jepun pada tahun 1945 tetapi dihalang oleh pengakhiran perang.
Burma

Burma (kini dikenali sebagai Myanmar) merupakan medan utama usaha Bersekutu di Asia Tenggara dari lewat tahun 1942 dan seterusnya, dengan Force 136 terlibat secara intensif. Pada awalnya, ia terpaksa bersaing dengan formasi biasa seperti Chindits dan organisasi tidak tetap lain untuk mendapatkan personel yang sesuai, pesawat, dan sumber daya lain. Akhirnya, ia memainkan peranan penting dalam pembebasan negara tersebut dengan membina secara perlahan-lahan sebuah organisasi nasional yang digunakan dengan berkesan pada tahun 1945.
Dua bahagian berasingan dari SOE mengendalikan Burma. Satu memberi tumpuan kepada komuniti minoriti yang kebanyakannya mendiami wilayah-wilayah sempadan; yang lain menjalinkan hubungan dengan pergerakan nasionalis dalam kalangan majoriti orang Bamar di bahagian tengah negara dan bandar-bandar utama. Telah diperdebatkan bahawa pembahagian usaha politik ini, walaupun diperlukan atas alasan ketenteraan, menyumbang kepada konflik antara komuniti yang berterusan di Burma (Myanmar) hingga ke hari ini.
Terdapat orang India dan Afghanistan yang merupakan sebahagian daripada Force 136 dan terlibat secara aktif dalam operasi Burma, seperti C. L. Sharma, seorang profesor linguistik India di Ibu Pejabat Tentera British di India yang kemudiannya menjadi ahli aktif Force 136 dan menghabiskan hampir 6 tahun terutamanya dalam pelbagai misisi Force di Burma.
Indochina Perancis
Force 136 memainkan peranan yang kecil sahaja dalam usaha mengatur penentangan tempatan di Indochina Perancis, yang diketuai terutamanya oleh Roger Blaizot, komander Kor Ekspedisi Timur Jauh Perancis (FEFEO) dan Jeneral Eugène Mordant, ketua penentangan tentera. Dari tahun 1944 hingga 1945, pesawat pengebom B-24 Liberator yang ditugaskan kepada Force 136 telah menjatuhkan 40 komando Operasi Jedbrugh dari agensi perisik Perancis BCRA, serta ejen dari Corps Léger d'Intervention yang juga dikenali sebagai "Gaur" di bawah pimpinan Leftenan Kolonel Paul Huard, ke utara Indochina. Walau bagaimanapun, pihak Perancis tidak berupaya menangkis rampasan kuasa Jepun pada Mac 1945, dan justeru sebahagian daripada mereka sama ada ditangkap atau terpaksa berundur. Indochina juga pada asalnya bukan sebahagian dari medan Asia Tenggara, dan oleh itu bukan di bawah tanggungjawab SOE. Ahli Force 136 Perancis yang terkenal yang diterjunkan ke Indochina Perancis pada tahun 1945 termasuklah: Jean Deuve (22 Januari), Jean Le Morillon (28 Februari), Jean Sassi (4 Jun),[8] Bob Maloubier (Ogos).[8] Pierre Brasart (3 Ogos).
Terdapat juga keraguan Amerika mengenai pemulihan rejim kolonial Perancis selepas perang, yang menyebabkan Amerika akhirnya menyokong Viet Minh.[9] Bersama-sama dengan kerumitan hubungan antara pegawai yang cenderung kepada Vichy di Indochina, dan pergerakan penentang Giraudis dan Gaullis yang bersaing, hal ini menjadikan hubungan sangat sukar. SOE mempunyai sedikit hubungan dengan pergerakan Viet Minh tempatan.
Operasi Di Tanah Melayu

Tiga pasukan tentangan Melayu tempatan telah ditubuhkan oleh Force 136 setelah mereka tiba di Tanah Melayu. Setiap pasukan dibantu oleh Pegawai-Pegawai Perhubungan British (LO) dan ejen-ejen dari SOE. Mejar Tengku Mahmood Mahyideen, seorang ahli keluarga diraja, telah mengembara ke Britain, India, Arab Saudi, Mesir, Jordan, Palestin, dan Iraq untuk merekrut orang-orang Melayu yang bekerja atau belajar di luar negara sebelum Perang Dunia Kedua untuk berkhidmat sebagai ejen Force 136.[10][11][12]
Segala perbelanjaan ini ditanggung oleh pihak British. Di India, Tengku Mahmood Mahyideen telah menyebarkan seruan ini melalui akhbar-akhbar tempatan selain daripada pergi menemui sendiri ke tempat para pelajar itu sendiri.[13] Hasil dari kunjungan dan seruan-seruan secara peribadi dan melalui akhbar ini seramai lebih kurang 30 orang telah berjaya dikumpulkan di sebuah banglo disewa oleh Tengku Mahmood Mahyideen di New Delhi dinamakan 'Malaya Lodge'. Siri penerangan, perbincangan dan dialog telah diadakan mengenai tujuan dan matlamat penubuhan Force 136, Bahagian Melayu ini ditubuhkan. Kesemua mereka yang hadir akhirnya bersetuju untuk menyertai unit ini.
Pada bulan September 1942, di sebuah hotel di New Delhi, Tengku Mahmood Mahyideen mengadakan satu pertemuan khas dengan Kapten Ibrahim bin Ismail dari Askar Timbalan Setia Negeri Johor, yang sedang menjalani latihan sebagai kadet pegawai di Akademi Tentera India di Dehra Dun, dan berjaya memujuknya untuk menyertai Force 136.[14] Dengan penubuhan unit ini, Mejar Tengku Mahmood semakin yakin dengan keupayaan pasukannya untuk mencapai objektif mereka dan, dengan dibantu oleh pegawai-pegawai British, telah diberikan tugas untuk mengajar ahli-ahlinya dalam teknik-teknik tempur termasuklah penggunaan senjata, operasi hutan, pengintipan, dan sabotaj. Mejar Tengku Mahmood Mahyideen berkhidmat sebagai 'Chief Advisor on matters related to the Malay Peninsula'.[15][16]
Operasi Oatmeal

Pada 31 Oktober 1944 Operasi Oatmeal dilancarkan. Operasi in merupakan operasi pertama yang akan membawa Ajen-ajen Force 136 ke Tanah Melayu Menggunakan kapal terbang Catalina Amphibian yang boleh mendarat di atas air. Ajen-ajen terlibat termasuklah Kapten Ibrahim Ismail, Haji Mohd. Zain Jaafar, Haji Ahmad Nayan dan Haji Zakaria. Penerbangan ini mengambil masa selama 15 jam dan sejauh 24000 km untuk sampai ke peraian pantai timur Semenanjung Tanah Melayu. Ajen-ajen operasi ini diturunkan di tengah laut berhampiran dengan Pulau Perhentian. Operasi dikesan oleh Ajen Kempetai dan mmereka teklah ditahan di Kota Bharu untuk diosoal-siasat. Kapten Ibrahim Ismail berjaya memperdaya pihak Jepun dengan berpura-pura berpaling tadah dan dapat mengelirukan perisikan Jepun yang mereka bekalkan dengan maklumat-maklumat palsu.[17]
Operasi Hebrides
Pada 16 Disember 1944, sekumpulan yang terdiri daripada lima Ejen SOE Melayu, termasuk Bahari Sidek (seorang pelajar Melayu yang belajar di Mekah sebelum perang),[12] dan dua LO British, Mejar Peter G. Dobree dan Kapten Clifford, terjun payung ke Padang Cermin, berhampiran dengan empangan Tasik Temenggor, Perak. Mereka adalah sebahagian daripada Operasi Hebrides. Matlamat utama mereka adalah untuk menubuhkan sebuah pasukan gerila bagi kawasan Ipoh dan Taiping. Matlamat kedua mereka adalah untuk menubuhkan komunikasi tanpa wayar antara Tanah Melayu dan Ibu Pejabat Force 136 di Kandy setelah MPAJA gagal berbuat demikian. Mereka membuat hubungan dengan Ketua Kampung Temenggor, Awang Muhammad, dan Ketua Kampung Bersia, Lahamat Piah, yang membantu mereka berhubung dengan Kapten Mohd Salleh Hj. Sulaiman, yang merupakan seorang Pegawai Daerah (DO) semasa Pentadbiran British sebelum perang. Antara mereka, mereka menubuhkan sebuah pasukan gerila yang dinamakan Askar Melayu Setia. Berpusat di Kuala Kangsar, Perak, Ibu Pejabat pasukan ini kemudiannya menjadi ibu pejabat utama bagi Force 136 di Tanah Melayu.[18]
Operasi di Pahang dan Kedah

Di Pahang, sebuah pasukan yang terdiri daripada dua Ejen SOE Melayu, Osman Mahmud dan Jamal, seorang pengendali Telekomunikasi Wayarles (W/T), Mat Nanyan, serta LO mereka, Mejar J. Douglas Richardson terjun payung di Raub, Pahang sebagai sebahagian daripada Operasi Beacon. Matlamat utama mereka adalah untuk menubuhkan komunikasi tanpa wayar antara pantai timur Semenanjung Tanah Melayu dan hab komunikasi utama Force 136 di Kuala Kangsar. Matlamat kedua mereka adalah untuk menubuhkan pasukan gerila bagi Pantai Timur Tanah Melayu. Selepas mendarat, pasukan tersebut membuat hubungan dengan Mejar Yeop Mahidin, yang merupakan Penolong Pegawai Daerah Kuala Lipis semasa Pentadbiran British sebelum perang, dan mereka menubuhkan sebuah pasukan gerila bernama Force 136 Pahang, juga dikenali sebagai Wataniah Pahang. Wataniah Pahang merupakan pendahulu kepada Rejimen Askar Wataniah, yang ditubuhkan pada tahun 1985.
Di Kedah, pasukan yang terdiri daripada dua orang operatif, Tunku Osman (yang kemudiannya menjadi Panglima Angkatan Tentera Malaysia ke-3), dan Mejar Hasler terjun payung masuk ke Kampung Kuala Janing, Padang Terap, Kedah pada 1 Julai 1945, sebagai sebahagian daripada Operasi Fighter. Matlamat utama mereka adalah untuk menubuhkan sebuah pasukan gerila di wilayah Utara Semenanjung Tanah Melayu. Mereka membuat hubungan dengan Tunku Abdul Rahman (yang kemudiannya menjadi Perdana Menteri Malaysia yang pertama), yang merupakan Pegawai Daerah Padang Terap semasa Pentadbiran British sebelum perang, dan menubuhkan sebuah pasukan gerila di Kedah.
Operasi Gustavus

Pada 24 Mei 1943, Colonel John Davis dan lima ejen Cina mendarat di utara Pulau Pangkor di pantai Perak.[19] Sebuah kem pangkalan telah ditubuhkan di Segari Hills dan ejen-ejen meneruskan perjalanan ke kawasan tanah rata untuk membina rangkaian risik dengan mendapatkan pekerjaan perlindungan di Perak.[20] Hubungan telah dibuat dengan pergerakan tentangan utama, Malayan People's Anti-japanese Army pada 30 September 1943.[21] Pegawai perhubungan pasukan Davis ini ialah Chin Peng.[22]
Pada 24 Mei 1943, kumpulan pertama ejen Force 136, dengan nama kod "Gustavus I" dan diketuai oleh Colonel John Davis[23] berlepas dari pangkalan tentera laut British di Ceylon dengan menaiki kapal selam Belanda O 24 dan tiba di Perak, Tanah Melayu. O 24 akan bertemu dengan "Gustavus I" sekali lagi pada bulan September dan November 1943 untuk memindahkan bekalan dan kakitangan dari "Gustavus IV" dan "Gustavus V" masing-masing.[24] Kapal saudaranya, O 23 di bawah pimpinan Kapten Richard Broome, mengangkut "Gustavus II" dan "Gustavus III" ke Tanah Melayu pada 25 Jun dan 4 Ogos 1943 masing-masing.[25] Operasi Gustavus gagal dan Lim Bo Seng ditangkap oleh Jepun.
Operasi Zipper
Matlamat akhir Force 136 ialah untuk menawan kembali Tanah Melayu pada akhir tahun 1944 melalui Operasi Zipper yang akan bermula dari utara dan akan berakhir di Singapura. Ia dirancangkan akan dimulakan sebaik saja Burma Country Section berjaya menyingkirkan.[26] Tetapi operasi terakhir yang dirancangkan ini dengan dibantu oleh pasukan-pasukan gerila dari dalam negeri yang telah dibentuk misalnya di utara negeri Perak dan di Pahang tidak sempat dilancarkan. Ini adalah berikutan penyerahan diri secara rasmi oleh tentera Jepun yang berada di Tanah Melayu dengan agak mengejut se setelah bandar Hiroshima dan Nagasaki di bom oleh tentera Berikat.
Kerjasama MPAJA
Sebelum Jepun menyerang Tanah Melayu, sebuah organisasi tentangan yang berpotensi sudah wujud dalam bentuk Parti Komunis Malaya. Keahlian parti ini kebanyakannya berasal dari komuniti Cina dan bersikap tegas anti-Jepun. Sejurus sebelum kejatuhan Singapura, Setiausaha Agung parti itu, Lai Teck, telah dimaklumkan oleh pihak berkuasa British bahwa partinya harus bersurai ke dalam hutan, suatu keputusan yang sudah dibuat oleh ahli-ahli parti tersebut.
Sebuah sekolah peperangan tidak tetap, 101st Special Training School (STS 101), telah ditubuhkan oleh pengembara dan pendaki gunung, Freddie Spencer Chapman. Chapman sendiri mengetuai pemerhatian dan serangan pertama di belakang barisan Jepun semasa Pertempuran Slim River. Walaupun graduan sekolah ini melancarkan beberapa operasi terhadap garis komunikasi Jepun, mereka terputus hubungan dari pasukan Bersekutu yang lain akibat kejatuhan Singapura. Satu percubaan telah dibuat oleh Misi Oriental untuk menubuhkan sebuah ibu pejabat di Sumatera, tetapi pulau ini juga ditakluki oleh Jepun.
Dalam pengasingan, pihak Komunis membentuk Malayan People's Anti-Japanese Army (MPAJA). Senjata dan peralatan pertama mereka sama ada didermakan oleh STS 101 sebelum mereka dikalahkan atau dipungut dari medan pertempuran atau depot Tentera British yang ditinggalkan. MPAJA membentuk kem dan unit yang berdisiplin ketat di dalam hutan, dibekalkan makanan oleh rangkaian kenalan dalam kalangan buruh Cina yang tersingkir dan "penceroboh tanah" di kawasan pinggir. Chapman kekal di Tanah Melayu selepas Singapura jatuh, tetapi tidak mempunyai radio atau cara untuk menghubungi pasukan Berikat di tempat lain. Walaupun begitu, MPAJA masih menganggap Chapman sebagai pihak berkuasa British yang rasmi, dan Chin Peng dilantik sebagai pegawai perhubungan dengan Chapman.[27]

Pada tahun 1942, wira Perang Dunia Kedua dari Singapura, Lim Bo Seng, telah kembali ke Tanah Melayu dari Calcutta dan merekrut beberapa ejen yang telah berjaya sampai ke India menjelang 1943. Timbalannya ialah Kapten Tham Sien Yen.[28] Force 136 cuba mengembalikan hubungan dengan Chapman dalam Operasi Gustavus, dengan menyusupkan pasukan yang termasuk Lim Bo Seng dan bekas ahli STS 101 John Davis dan Richard Broome melalui laut ke kawasan berhampiran Pulau Pangkor. Radio mereka tidak dapat menghubungi Ibu Pejabat Force 136 di Ceylon dan kenalan MPAJA di Pulau Pangkor telah dikhianati kepada Jepun.
Pada Februari 1945, radio yang dibawa oleh Gustavus akhirnya berjaya dihidupkan. Chapman dapat melawat Ibu Pejabat Force 136 di Kandy dan membuat laporan. Pada masa ini, Force 136 mempunyai sumber yang besar, dan dalam beberapa bulan sebelum berakhirnya perang, mereka dapat menghantar 2,000 senjata kepada MPAJA dan tidak kurang daripada 300 orang kakitangan perhubungan. Kira-kira separuh daripada mereka adalah British yang pernah bekerja atau menetap di Tanah Melayu sebelum perang, yang lain adalah orang Cina yang berjaya sampai ke India dengan sendiri atau yang telah dibawa ke sana oleh Force 136 untuk latihan. Dengan sumber-sumber ini, MPAJA dibangunkan menjadi sebuah tentera gerila yang besar dengan kira-kira 7,000 pejuang.[29] Walau bagaimanapun, Jepun menyerah kalah sebelum ia berpeluang melancarkan pemberontakan besar-besaran.
Setelah terpencil di kem-kem hutan selama beberapa tahun, PKM dan MPAJA telah membersihkan diri mereka daripada banyak ahli yang disyaki melakukan pengkhianatan atau espiase, yang menyumbang kepada sikap garis keras pasca perang mereka dan seterusnya membawa kepada pemberontakan yang dikenali sebagai Darurat Tanah Melayu.
Nota
- ^ "Force 136". Chinese Canadian Military Museum Society. 4 April 2016. Archived daripada yang asal pada 27 Jun 2020. Dicapai pada 23 Ogos 2025.
- ^ Rodriguez, Jeremiah (2017-11-10). "Chinese-Canadian WWII Veterans From Secret Force 136 Honoured in Documentary". HuffPost Canada. Diarkibkan daripada yang asal pada 19 May 2018. Dicapai pada 2021-05-16.
- ^ "Special Operations Executive". National Army Museum. Diarkibkan daripada yang asal pada 17 April 2021. Dicapai pada 2020-01-01.
- ^ a b "Force 136 Historic Marker | Lim Bo Seng's Burial Site". roots.sg. Diarkibkan daripada yang asal pada 11 August 2020. Dicapai pada 2020-03-18.
- ^ "The Men of SOE Burma". The Special Operations Executive in Burma 1941-1945. 2016-10-31. Dicapai pada 2021-05-18.
- ^ "Chinese-Canadian WWII Veterans From Secret Force 136 Honoured in Documentary". HuffPost Canada. 2017-11-10. Diarkibkan daripada yang asal pada 19 May 2018. Dicapai pada 2021-05-16.
- ^ Bailey (2009), p.278
- ^ a b "Le Journal du Monde news, Patricia Lemonière, 2009". Diarkibkan daripada yang asal pada 9 November 2012. Dicapai pada 27 March 2010.
- ^ Silent Partners: SOE's French Indo-China Section, 1943–1945 Diarkibkan 5 Jun 2011 di Wayback Machine, MARTIN THOMAS, Modern Asian Studies (2000), 34: 943–976 Cambridge University Press
- ^ Wan Teh, Wan Hashim (1996). "Peranan orang Melayu dalam Gerakan Anti-Jepun". Jebat: Malaysian Journal of History, Politics and Strategic Studies. School of History, Politics & Strategic Studies, The National University of Malaysia. 24: 101–108. Diarkibkan daripada yang asal pada 30 March 2019. Dicapai pada 30 March 2019.
- ^ Hanif Ghows, Mohd Azzam, Lt Col (Rtd) (2014). Reminiscences of Insurrection: Malaysia's Battle against Terrorism 1960. Kuala Lumpur: Penerbitan Wangsa Zam. ISBN 9789671112205.
- ^ a b sgfilmlocations (2012-12-19). "Location Scouting in archive footage of the immediate events following the Japanese surrender in 1945 (Part 3 – The Decoration Ceremony)". THE HUNTER. Dicapai pada 2020-05-21.
- ^ Notes on Malay in England by Major Tengku Mahmood Mahyideen, Personal File, Recruitment of Asiatic Outside Malaya, British Military Administration, 14312, Arkib Negara Malaysia.
- ^ Aziz bin Mahmood (1985), Tengku Mahmood Mahyideen (1908-1954) Peranan, Sumbangan dan perjuangan (in Malay) Universiti Kebangsaan Malaysia p.52
- ^ Aziz bin Mahmood (1985), Tengku Mahmood Mahyideen (1908-1954) Peranan, Sumbangan dan perjuangan (in Malay) Universiti Kebangsaan Malaysia p.53
- ^ Teh (Wan.), Hashim Haji Wan (1984). Pejuang gerila Force 136. Biro Politik dan Pelajaran, Pergerakan Pemuda UMMO, Bahagian Grik.
- ^ "General Tun Ibrahim bin Ismail". www.thetimes.com (dalam bahasa Inggeris). 2011-03-04. Dicapai pada 2025-10-27.
- ^ Hussain, Mustapha (2005). The Memoirs of Mustapha Hussain: Malay Nationalism Before UMNO. Kuala Lumpur: Utusan Publications. m/s. 295.
- ^ 11
- ^ 12
- ^ 13
- ^ 13
- ^ "John Davis: SOE leader in Japanese-occupied Malaya". The Sunday Times. 31 October 2006. Dicapai pada 6 January 2011.[pautan mati]
- ^ Dutch Submarines: The submarine O 24, Dutch Submarines, dicapai pada 6 January 2011
- ^ Dutch Submarines: The submarine O 23, Dutch Submarines, dicapai pada 6 January 2011
- ^ Kirby, Stanley Woodburn (1957). The War Against Japan: The surrender of Japan (dalam bahasa Inggeris). H.M. Stationery Office. ISBN 978-0-11-630085-0.
- ^ Bayly and Harper, p.262
- ^ "THAM Sien Yen 谭显炎 – Oral History Interviews – Record Details (Accession Number 000254) – Reel/Disc 5 of 17".
- ^ Bayly and Harper, p.453
Sumber
- Aldrich, Richard James (2000). Intelligence and the war against Japan: Britain, America and the politics of secret service. Cambridge University Press. ISBN 9780521641869.
- Allen, Louis. Burma: the longest War. J.M. Dent and sons. ISBN 0-460-02474-4.
- Bayly, Christopher; Harper, Tim. Forgotten Armies. Penguin. ISBN 0-14-029331-0.
- Chapman, Freddie Spencer. The Jungle is neutral. Lyon Press. ISBN 1-59228-107-9.
- Christie, Arthur. Mission Scapula: Special Operations Executive in the far east. ISBN 0-9547010-0-3.
- Cruikshank, Charles (1983). SOE in the Far East. Oxford University Press. ISBN 0-19-215873-2.
- Dear, Ian. Sabotage and Subversion: SOE and OSS at War. Cassell. ISBN 0-304-35202-0.
- Foot, M. R. D. (1984). SOE. BBC Publications. ISBN 0-563-20193-2.
- Hedley, John. Jungle Fighter. Tom Donovan Publishing Ltd. ISBN 1-871085-34-9.
- Latimer, Jon (2004). Burma: The Forgotten War. John Murray. ISBN 978-0-7195-6576-2.
- Smiley, David (1994). Irregular Regular. Norwich, England: Michael Russell. ISBN 0 85955 202 0.
Pautan luar
Content Disclaimer
Informasi ini disarikan dari Wikipedia dan disajikan kembali untuk tujuan edukasi. Konten tersedia di bawah lisensi CC BY-SA 3.0. Kami tidak bertanggung jawab atas ketidakakuratan data yang bersumber dari kontribusi publik tersebut.
- The information displayed on this website is sourced in part or in whole from Wikipedia and has been adapted for the purpose of restating it. We strive to provide accurate and relevant information, however:
- There is no guarantee of absolute accuracy. Wikipedia is an open, collaborative project that can be edited by anyone, so information is subject to change.
- It is not intended to constitute professional advice. The content displayed is for informational and educational purposes only. For important decisions (e.g., medical, legal, or financial), please consult a professional.
- Content copyright. Wikipedia is licensed under the Creative Commons Attribution-ShareAlike License (CC BY-SA). This means that content may be reused with appropriate attribution and shared under a similar license.
- Responsible use. Any risk arising from the use of information from this website is entirely the responsibility of the user.