Ameng Spring

Ameng Spring
Kelahiran
Wan Aminuddin bin Wan Ismail

(1968-11-24) 24 November 1968 (umur 57)
Nama lainAmeng, Ameng Spring
PekerjaanPenyanyi, Pelakon
Tahun aktif1991–kini
PasanganDato' A. Aida (k. 1993; c. 2004)
Sabariah Zakariah (k. 2004)
Anak-anakWan Az Aleesa Wan Aminuddin
Wan Azeva Natassha Wan Aminuddin
Wan Ammar Haikal Wan Aminuddin
Ibu bapaWan Ismail Wan Abd Kadir (bapa)
Hasmah Mahmud (ibu)
Kerjaya muzik
GenrePop, Balada
Alat muzikVokal, Gitar
Syarikat rakamanSony Music Malaysia, Rusa Music
Kegiatan berkaitanSpring

Wan Aminuddin bin Wan Ismail yang lebih dikenali sebagai Ameng Spring (lahir 24 November 1968) merupakan satu nama yang tidak asing lagi dalam industri muzik tanah air. Anak kelahiran Besut, Terengganu ini memulakan kariernya bersama Kumpulan Spring sebagai vokalis dan telah berkecimpung di dalam bidang nyanyian lebih daripada tiga puluh tahun.[1] Memiliki personaliti yang menarik serta suara yang cukup lunak, Ameng seringkali mendapat perhatian daripada para media serta peminat-peminat beliau.

Kehidupan Awal

Ameng dilahirkan di Besut, Terengganu, merupakan anak ke-4 daripada 6 orang adik beradik. Bapanya adalah seorang Guru Besar di SK Apal, Besut dan ibunya meniaga secara kecil-kecilan di kampung. Kebanyakan adik-beradiknya adalah penjawat awam, hanya beliau sahaja yang berkecimpung dalam dunia seni. Ameng dikategorikan sebagai pelajar pintar apabila memasuki kelas aliran sains di SMK Seri Nering, Besut, Terengganu dan berpeluang menyambung pelajaran ke Institut Teknologi MARA (ITM) yang kini kenali sebagai Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam bidang muzik kerana Ameng sememangnya minat muzik sejak sekolah, beliau seorang pemain gitar dalam kumpulan muzik di kampungnya.[2]

Pada asalnya ayahnya mahu Ameng menyambung legasinya sebagai guru, tetapi Ameng sudah terpengaruh dengan kumpulan rock masa itu seperti Wings, Search dan Lefthanded, dan menjadikan Awie Wings sebagai idolanya dengan gayanya yang rock yang berjaya membuatkan Ameng jatuh hati dengan penampilan rock.[3]

Bagaimana Ameng Menyertai Kumpulan Spring

Untuk mengejar impiannya sebagai seorang pemuzik, Ameng telah berhijrah ke Kuala Lumpur sekitar tahun 1988 untuk bekerja secara sambilan kerana beliau memerlukan duit tambahan untuk membeli barangan yang original seperti kasut, tali pinggang dan sebagainya.[4]

Setibanya di Kuala Lumpur, Ameng menetap di kawasan setinggan di Setiawangsa bersama dengan sahabatnya bernama Zaki dan bekerja sebagai pembantu bengkel kereta milik kawannya di kawasan setinggan tersebut. Pada sebelah petang, Ameng membantu kawannya menjual buah, ketika inilah Ameng mula mengenali Aznil Nawawi kerana Aznil seringkali singgah membeli buah dengan Ameng.[5]

Seminggu kemudian, sahabat Ameng memberitahunya ada iklan dalam akhbar Utusan Malaysia yang ingin mencari bakat-bakat baharu sebagai artis solo. Dengan sokongan sahabatnya itu, Ameng menyertai ujibakat yang diadakan di Kampung Baru walaupun pada asalnya Ameng adalah seorang gitaris. Ujibakat tersebut mempunyai beberapa peringkat dan Ameng berjaya mara ke peringkat akhir. Ketika menunggu tapisan peringkat akhir, Ameng bertemu dengan sahabat lamanya iaitu Iskandar yang ketika itu telah menetap di Seremban. Iskandar yang mengetahui bakat Ameng mengajaknya untuk bersamanya dalam kumpulan Spring menggantikan vokalis asalnya dan menyertai ujibakat terakhir anjuran Sony Music yang dibuat di Taman Maluri. Sudah tertulis rezekinya, Ameng berjaya dipilih sebagai vokalis kumpulan Spring dan terus menandatangani kontrak sebagai artis rakaman Sony Music.[6]

Karier Bersama Kumpulan Spring

Walaupun Spring ditubuhkan pada tahun 1987, Ameng hanya mula menganggotai kumpulan ini pada tahun 1988 menggantikan vokalis asal, Amat yang menarik diri sebelum album pertama yang berjudul Spring mula dirakamkan. Pada ketika itu, Spring masih membawa genre rock kapak dan tampil berambut panjang melepasi paras leher.

Album pertama Spring yang dikeluarkan pada tahun 1991 telah mencatatkan jualan yang kurang memberangsangkan memandangkan mereka masih baru dalam industri. Namun, ia tidak mematahkan semangat beliau dan anggota Spring yang lain, sebaliknya mereka telah diberi peluang kedua oleh Sony Music untuk menghasilkan album kedua pada tahun 1992. Berbekalkan lagu Sampai Hati yang juga judul album kedua Spring, nasib Ameng dan anggota Spring yang lain berubah sekelip mata apabila lagu ciptaan M. Nasir & lirik ditulis oleh Juwie mendapat sambutan yang menggalakkan seterusnya album tersebut mencatatkan jualan yang membanggakan. Bukan itu sahaja, lagu tersebut juga layak ke peringkat akhir Juara Lagu '93 & Pujaan 10 Nescafe. Sejak itu, populariti Spring meningkat secara mendadak sekaligus menjadikan Spring sebagai kumpulan rock yang terkenal, sebaris dengan kumpulan rock yang lain seperti Search, Wings, Mega, Iklim dan lain-lain.

Beliau dan rakan-rakannya seperti mendapat motivasi dengan kejayaan lagu tersebut dan mereka terus mengorak langkah dengan menghasilkan beberapa buah album selepas itu seperti Bourgenvilla (1994), Jujur (1995), Pujaan Gemilang (1995), Spring 5 (1996), Luahan (1997) dan banyak lagi. Ternyata album yang dihasilkan juga meletup di pasaran dengan lagu-lagu hits seperti Bourgenvilla, Butakah Cinta, Sepi Tanpa Cinta, Sejujur Mana Kata-Kata, Persada Cintaku, Romantis, Kita Ditakdirkan Jatuh Cinta, Kerana Budi Ku Jatuh Hati & Pesanan Buat Kekasih. Lagu-lagu ini sedikit sebanyak telah meletakkan Spring sebagai kumpulan rock yang masih utuh pada penghujung 90-an sedangkan kumpulan rock lain tidak lagi mampu meraih jualan yang memberangsangkan.

Selepas menghasilkan album Hati Mahu Baik pada tahun 2001, Ameng dan rakan-rakannya telah mengambil keputusan untuk membawa haluan masing-masing berikutan komitmen dan isu yang melanda pada ketika itu.

Karier Solo

Setelah anggota Spring membawa haluan masing-masing, Ameng telah mengambil keputusan untuk bergerak secara solo, tetapi masih di bawah naungan yang sama iaitu Sony Music. Ameng telah diberi peluang untuk merakamkan album solo pertama beliau yang berjudul Langkah Semakin Jauh. Walaupun telah bergelar penyanyi solo, Ameng masih diminati ramai kerana personalitinya yang menarik dan kualiti suaranya yang masih kekal utuh tanpa sebarang cacat cela.

Langkah Semakin Jauh

Album solo pertama Ameng ini telah diberi judul Langkah Semakin Jauh, sealiran dengan sebuah lagu yang dimuatkan di dalam album ini. Lagu ini telah dicipta oleh penggubah popular iaitu Zul Mahat, manakala liriknya ditulis oleh Amran Omar. Langkah Semakin Jauh turut akan dijadikan sebagai lagu single pertama bagi album ini. Penyusunan muzik serta irama yang diketengahkan di dalam lagu ini amat menarik sekali, ia banyak mengandungi elemen-elemen serta gubahan melodi baru yang boleh dinikmati untuk lagu tersebut. Tambahan pula, lirik serta vokal Ameng yang tetap utuh serta memiliki intonasi yang menarik menjadikan lagu Langkah Semakin Jauh amat menarik sekali.

Konsep album beliau yang sulung ini adalah berkonsepkan pop kontempori. Proses rakaman serta pembikinan album ini telah memakan masa selama enam bulan. Album ini akan mula berada di pasaran pada awal bulan Mei 2003 ini. Album solo Ameng yang sulung ini merupakan titik-tolak kepada pembaharuan irama, lirik serta melodi yang beliau bawa. Ini kerana setelah hampir sedekad beliau menyampaikan lagu-lagu berirama pop yang jiwang, kali ini album solo beliau menampilkan kepelbagaian irama seperti irama Arab, Latin , Parsi dan banyak lagi. Akan tetapi irama pop asli tidak ditinggalkan, malah kesemua lagu-lagu di dalam album ini telah digubah dengan begitu baik sekali. Terdapat banyak irama serta melodi baru yang boleh dinikmati. Jelas sekali album ini memiliki keistimewaannya yang tersendiri.

Di dalam album ini, Ameng turut menyumbangkan sebuah lagu hasil ciptaannya yang berjudul Salam Air Mata, manakala liriknya ditulis oleh Juwie. Lagu ini amat bermakna bagi Ameng kerana ia merupakan salah satu kisah hidup beliau yang pernah beliau lalui. Penulis-penulis lirik yang terlibat di dalam album ini tidak kurang hebatnya. Antara penyumbang lirik untuk album Langkah Semakin Jauh ini ialah Juwie, Hairul Anuar Harun, Amran Omar, S. Amin Shahab, Loloq, Rasdey & Mat Joe.

Walaupun baru pertama kali Ameng merakamkan album secara solo, namun beliau tidak merasakan kesukaran atau kekok bekerjasama dengan penggubah-penggubah yang terbabit. Ini kerana Ameng yang telah berkecimpung di dalam dunia nyanyian telah biasa bekerjasama dengan mereka sejak bersama Spring lagi.

Keluarga

Ameng pernah mendirikan rumahtangga dengan dramatis & penerbit terkenal, Zaidah Awang atau dikenali dengan nama A. Aida pada tahun 1993. Hasil perkahwinan tersebut, Ameng dan A. Aida dikurniakan dua orang anak perempuan bernama Wan Az Aleesa dan Wan Az Evanatassha. Malangnya, perkahwinan mereka tidak kekal lama apabila bercerai 10 tahun kemudian. Mereka pernah bercerai dan rujuk sekali pada tahun 2001 sebelum kembali bercerai pada tahun 2003.

Ameng kemudiannya berkahwin buat kali kedua dengan pilihan hatinya, Sabariah Zakariah yang kini merupakan pengurusnya. Ameng dan Sabariah dikurniakan seorang anak lelaki bernama Wan Ammar Haikal dan perkahwinan mereka bertahan sehingga kini.

Diskografi

Album

  • Langkah Semakin Jauh - Ameng (Sony, 2003)
  • KESALANKU - AMENG ( BERSAMA RED PEANUT BAND BANDUNG, 2010 AKHIR )

Lagu-lagu

  • Ya Habib Umairah
  • Langkah Semakin Jauh
  • Cinta Pandang Pertama
  • Min Aina Ilaa Aina
  • Bersanding Di Awan
  • Malam Cinta
  • Siapalah Aku
  • Edan Warna Jingga
  • Embun Pagi
  • Salam Air Mata

KARIER SOLO AMENG ( SPRING )

- SINGLE SINGLE SOLO AMENG

  1. LANGKAH SEMAKIN JAUH ( ZUL MAHAT / AMRAN OMAR )
  2. PUISI SANG ARJUNA ( SAARI AMRI )
  3. KASIH YANG TAK PASTI ( Feat Ameng / SPRING & Opie / PANJI ) - ( Petikan Dari Album KUMPULAN PANJI )
  4. YA HABIBI UMAIRAH ( AMRAN OMAR )
  5. SALAM AIR MATA ( AMENG / JUWIE )
  6. KESALAN KU ( M.NASIR )
  7. SUDIKAH JADI KEKASIHKU ( EDDIE HAMID )
  8. SRTANGKAI KEMBANG MELATI ( AMENG & SULIZA SALAM )
  9. ANTARA CINTA DAN RINDU ( AMENG )

- Buku

Ameng Spring- Epilog Tirai Keinsafan [1]

Filemografi

Filem

Tahun Tajuk Watak Catatan
2003 Iskandar Mail Komando Filem pertama

Televisyen

Tahun Tajuk Peranan Saluran TV Catatan
2016 Gegar Vaganza (musim 3) Peserta Astro Ria
2025 Talk To My Manager Peserta pasangan Manager bersama Ammar

Rujukan

  1. ^ "Spring....10 tahun penuh cabaran". Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-04-15. Dicapai pada 2018-04-15.
  2. ^ Shuib Channel (2025-11-12), DP EPS 98 | PART 1 : Ameng Spring – “Dulu Jual Buah di Setinggan, Hari Ini Suara Jadi Legenda”, dicapai pada 2026-03-07
  3. ^ Shuib Channel (2025-11-12), DP EPS 98 | PART 1 : Ameng Spring – “Dulu Jual Buah di Setinggan, Hari Ini Suara Jadi Legenda”, dicapai pada 2026-03-07
  4. ^ Shuib Channel (2025-11-12), DP EPS 98 | PART 1 : Ameng Spring – “Dulu Jual Buah di Setinggan, Hari Ini Suara Jadi Legenda”, dicapai pada 2026-03-07
  5. ^ Shuib Channel (2025-11-12), DP EPS 98 | PART 1 : Ameng Spring – “Dulu Jual Buah di Setinggan, Hari Ini Suara Jadi Legenda”, dicapai pada 2026-03-07
  6. ^ Shuib Channel (2025-11-12), DP EPS 98 | PART 2 : '“Minat Gitar, Tapi Allah Pilih Suara Jadi Rezeki”, dicapai pada 2026-03-07

Pautan luar

Content Disclaimer

Informasi ini disarikan dari Wikipedia dan disajikan kembali untuk tujuan edukasi. Konten tersedia di bawah lisensi CC BY-SA 3.0. Kami tidak bertanggung jawab atas ketidakakuratan data yang bersumber dari kontribusi publik tersebut.

  1. The information displayed on this website is sourced in part or in whole from Wikipedia and has been adapted for the purpose of restating it. We strive to provide accurate and relevant information, however:
  2. There is no guarantee of absolute accuracy. Wikipedia is an open, collaborative project that can be edited by anyone, so information is subject to change.
  3. It is not intended to constitute professional advice. The content displayed is for informational and educational purposes only. For important decisions (e.g., medical, legal, or financial), please consult a professional.
  4. Content copyright. Wikipedia is licensed under the Creative Commons Attribution-ShareAlike License (CC BY-SA). This means that content may be reused with appropriate attribution and shared under a similar license.
  5. Responsible use. Any risk arising from the use of information from this website is entirely the responsibility of the user.